Bersaranya Pejuang Bangsa - Bonda Tercinta
Posted On Thursday, November 13, 2008 at at 5:40 PM by jai* klik gambar untuk view penuh
Khamis, 13 November hari terakhir perkhidmatan seorang pejuang bangsa yang tidak didendang. Pejuang kerdil tapi memainkan peranan yang besar dalam dunia pendidikan negara kita. Pejuang kerdil yang tidak berkira wang ringgit, masa dan tenaganya sepanjang berbakti sebagai guru.
Latarbelakang Pendidikan
Lahir sebagai anak ke tiga daripada 7 adik-beradik perempuan ini amat cekal menimba ilmu. Berkaki ayam dan berjalan kaki ke sekolah alah bisa tegal biasa saja. Berlari ketika melalui kawasan perkuburan dan monyet ketika pergi dan pulang dari sekolah merupakan hiburan setiap hari. Lembu, ayam dan itik bagaikan teman mengulangkaji pelajaran kerana beliau seringkali ditugaskan untuk menjaga dan memberi makan ternakan ayahandanya.
Pernah bersekolah di Sekolah Rendah Dato' Wan Mohd Saman, Sekolah Menengah Teknik Lebuhraya Sultan Abdul Halim, dan Sekolah Menengah Syarifah Rodziah memperlihatkan kemajuannya dalam bidang pelajaran.
Keluarganya bukanlah dari golongan yang berada menambahkan lagi tekad beliau untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya diterima masuk ke Universiti Malaya pada hujung era 70-an. Ibu beliau yang tenat dan akhirnya meninggal dunia memberi kesan yang amat mendalam dalam kecekalan beliau mengharungi kesempitan hidup dan kepayahan dalam mengejar cita-cita untuk menggenggam segulung ijazah. Beliau pernah menceritakan tentang kesempitan hidup, rumah yang tidak bertingkap, dikejar oleh ayahnya untuk dipotong rambut, bermain masak-masak dengan adik-beradik, berlari sambil mengendong beg pakaian ketika melalui tanah perkuburan waktu awal pagi pulang bercuti, dan beliau menceritakan semua ini kepada putera dan puteri beliau berulang kali. Agar putera dan puteri beliau tidak lupa asal usul, tidak lupa keperitan hidup, dan menjadi sumber kekuatan untuk belajar bersungguh-sungguh.
Bertemu jodoh.
Manakala pada awal 80-an, beliau menyambung pelajarannya dalam bidang perguruan. Ketika itulah, beliau bertemu jodoh dengan Hj Abdul Ghani Bin Ali Amin dan mendirikan rumah tangga yang bahagia dan harmonis sehingga sekarang. Pasangan bahagia ini dikurniakan 4 orang anak, 2 lelaki dan 2 perempuan. Sehingga kini, seorang putera dan seorang puteri mereka mengikut jejak langkah menjadi pendidik.
Meriahnya kehidupan Cikgu Besah
Nama panggilan ini meniti dibibir rakan seperjuangan, masyarakat setempat dan murid-muridnya. Panggilan yang cukup mesra ini menambahkan keakraban dan mengeratkan ikatan persaudaran. Setiap kali raya, setiap kali jamuan makan (selalu diadakan tanpa sebab pun kadang-kadang), rumah cikgu Besah tidak pernah sunyi dari riuh rendah saudara mara dan bekas pelajarnya. Seperti mana suaminya, bekas pelajar cikgu Besah tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi rumah cikgu Besah setiap kali Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji. Cikgu Besah akan menyambut mereka dengan tangan yang berbuka dan hati yang gembira, seringkali menghidangkan juadah nasi, bihun sup ataupun soto.
Kemana-mana sahaja cikgu Besah pergi, pasti akan bertemu dengan bekas pelajarnya yang langsung tidak malu atau segan untuk menegurnya terlebih dahulu. Anak didiknya sudah menjadi 'manusia'. Ada yang penjual ikan, pemilik salun kecantikan, pemilik kedai barangan perkahwinan, guru, pensyarah, pelukis, pegawai kerajaan dan boleh dikatakan, anak didiknya menjadi manusia yang berguna dan dapat berbakti kepada masyarakat.
Lembutnya seorang cikgu, tegasnya seorang ibu.
Beliau memainkan peranan sebagai seorang guru dan ibu samada di sekolah mahupun di rumah. Tidak pernah jemu melayan kerenah murid-muridnya. Beliau seringkali melawat murid yang tidak hadir ke sekolah, mendekati dan menyelami kehidupan keluarga. Dari situ beliau membeli produk keluaran keluarga tersebut, dan berkenalan dengan mereka. Sewaktu menjadi guru disiplin, beliau amat tegas dan acapkali membawa gunting ke mana sahaja. Sekiranya terjumpa murid yang mempunyai rambut yang panjang atau seluar yang amat ketat, pastilah dipotong yang tidak berkenan itu dan beliau tidak pula lokek menghulurkan wang untuk mengganti seluar ketat tadi.
Ketika di rumah, beliau mendisiplinkan anak-anak dengan jarang menggunakan kekerasan. Jarang sekali menggunakan benda untuk memukul atau mendenda anak-anak. Beliau dan suaminya bagai melengkapi antara satu sama lain dalam mendidik anak-anak. Jika seorang menjadi tegas, seorang lagi menjadi lembut. Lembut yang dimaksudkan bukan menyebelahi anak jika membuat salah tetapi menggunakan pendekatan yang lebih memujuk dan berbincang.
Berkhidmat di beberapa buah sekolah hampir 30 tahun di Sekolah Menengah Gunung dan Sekolah Menengah Tajar, menunjukkan beliau suka mendekati murid-murid luar bandar meskipun, putera dan puteri beliau bersekolah di bandar. Ini kerana beliau ingin berbakti dan mengubah nasib bangsa. Beliau pernah mendapat tawaran memegang jawatan tertinggi di sekolah, tetapi tidak berminat meskipun sudah menerima 'gaji mati' yang gajinya sama dengan gaji pengetua.
Superwoman.
Dalam kesibukan harian, beliau menyempatkan diri memasak, mengemas rumah, dan berkebun bunga (akan dipostkan kemudian mengenai Teratak Nipah ini). Pernah sekali, mencangkul tanah dengannya, kedengaran nafasnya berbunyi kepenatan, peluh yang menitik-nitik menyembah bumi, beliau cekal tidak berhenti selagi kerja mencangkul belum selesai.
Itulah pejuang kerdil, bonda tercinta, ibu, mama (bila beliau menggunakan perkataan ini untuk membahasakan dirinya, lembut hati anak-anak yang keras), mak (panggilan yang selalu digunakan), Chekgu Besah, beliaulah bonda tercintaku, Hjh Habesah Binti Hj Omar yang baru jer hari terakhir berkhidmat kelmarin, 13 November 2008. Moga mak tumpukan perhatian pada kesihatan, dan bergembira selalu. Gi melancong kat Sabah nanti jangan lupa beli apa-apa buat akak.. dan ambil gambar banyak-banyak!!!
Dari akak,
Anak mu.
Ya Allah Ya Rahman, muliakanlah saudaraku ini, bahagiakan keluarganya, berkati rezekinya,kuatkanlah imannya,permudahkanlah segala urusannya..